Pendekatan Holistik Perlu Diambil Untuk Tangani Masalah Setinggan Di Semporna – Nixon

Pendekatan Holistik Perlu Diambil Untuk Tangani Masalah Setinggan Di Semporna – Nixon

0
SHARE
Nixon Abdul Habi...

SEMPORNA, SABAH – Pendekatan holistik perlu diambil bagi menangani isu masalah perkampungan setinggan di daerah Semporna.

Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Semporna, Nixon Abdul Habi berkata, sudah beberapa isu telah timbul sebelum ini dan terbaru, kebakaran di Kampung Simunul pada Jumaat lalu, kini menjadi ‘wake up call’ kepada semua pihak agar senario itu diatasi segera.

“Saya amat bersetuju dengan saranan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengumumkan satu jawatankuasa khas akan dibentuk untuk menangani isu masalah perkampungan setinggan…

“Sudah sampai masanya masalah ini dapat diselesaikan secara menyeluruh, kerana permasalahan setinggan ini bukanlah satu perkara baharu,” katanya.

Beliau berkata, permasalahan setinggan ini tidak boleh berlarutan dan mengambil contoh di perkampungan atas air Kampung Simunul, ia perlu diatasi dari masa ke semasa.

Jelasnya, penduduk tempatan di situ telah melalui banyak insiden termasuklah kejadian anggota polis dibunuh pengganas pada tahun 2013, masalah denggi dan lain-lain lagi.

“Jadi saya berharaplah, satu penyelesaian secara tuntas dapat dilakukan bagi memastikan Kampung Simunul ini terbela di masa hadapan,” katanya.

Pada Jumaat, lebih 100 penghuni hilang tempat tinggal akibat kebakaran yang memusnahkan 20 rumah atas air di Lorong 5, Kampung Simunul, Semporna.