KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan jangkaannya meleset berhubung khabar angin yang hangat diperkatakan bahawa prestasi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bakal terjejas akibat pengeluaran RM101 bilion bagi tujuan i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra.
Menurutnya, dengan jumlah aset KWSP terus berkembang mencecah RM1 trilion dan dividen yang dianggarkan mencecah enam peratus, sewajarnya pengeluaran kali terakhir RM10,000 yang amat dituntut dan diharapkan oleh rakyat dipenuhi.
“Anggaran kira-kira RM25 ke RM30 bilion kesan pengeluaran terakhir tidak akan menjejaskan aset pelaburan KWSP sebanyak RM983 bilion…
“Malah prestasi pasaran modal dan kewangan yang baik juga pastinya mampu memberikan pulangan balik kepada dana KWSP yang dikeluarkan dalam jangka masa pendek,” kata Dr Asyraf dalam satu kenyataan di laman media sosial Facebook miliknya.
Katanya lagi, pengeluaran kali terakhir ini juga wajar kerana dapat membantu beban rakyat yang terhimpit kesan pandemik Covid-19 selain memenuhi Akta KWSP.
“Pengeluaran kali terakhir ini juga penting bagi memenuhi keperluan mendesak rakyat yang sememangnya susah, gelisah dan amat terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan pelbagai komitmen dan hutang yang tertunggak akibat pandemik…
“Bahkan ia bertepatan dengan roh dan semangat Akta KWSP 1991 di bawah Seksyen 54 (6) (k)(l)(m) yang menyatakan pengeluar adalah dibenarkan kepada ‘ahli Kumpulan Wang itu yang memerlukan pembiayaan untuk menambah pendapatannya bagi maksud kelangsungan hidup’,” katanya.





