Mohd Na’im Harap Peguam Syarie Eratkan Kesatuan, Jaga Disiplin Diri

Mohd Na’im Harap Peguam Syarie Eratkan Kesatuan, Jaga Disiplin Diri

0
SHARE
Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar...

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berharap semua peguam syarie dapat mengeratkan kesatuan dan menjaga disiplin diri dalam usaha mengukuhkan institusi perundangan dan kehakiman syariah di negara ini.

Memetik sumber Bernama, beliau juga berharap peguam syarie dan institusi kehakiman syariah bergerak bersama-sama demi keutuhan sistem perundangan serta kehakiman syariah.

“Sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan bagi hal ehwal Islam, termasuk perundangan dan kehakiman syariah di negara ini, saya sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan maklum balas membina, khususnya berkaitan pengurusan Mahkamah Syariah,” katanya melalui Instagram beliau, semalam.

Mohd Na’im turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan Persatuan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan kerana mengambil inisiatif menganjurkan Program Sukan Peguam Syarie.

“Program ini amat penting untuk saling mempertautkan ukhuwah silaturahim sesama kita, selain saling beriadah dengan penuh semangat kesukanan.

“Terima kasih atas ukhuwah dan silaturahim dalam program ini. Semoga kita semua dipermudahkan segala urusan,” katanya.