Selangor Juara Keseluruhan MSKPPM Kali Ke-49

Selangor Juara Keseluruhan MSKPPM Kali Ke-49

0
SHARE
Arifin
Arifin (dua kiri) menyampaikan Piala Juara kepada kontinjen Selangor ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Selangor dinobatkan juara keseluruhan Pesta Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (MSKPPM) Kali Ke-49.

Kontinjen tersebut mengumpul 29 mata dan menjadi johan bagi lima acara iaitu futsal wanita, badminton, bola jaring, bola tampar lelaki serta wanita.

Sementara pasukan tuan rumah, Sabah di tangga kedua berkongsi 21 mata dengan pemenang tempat ketiga, negeri Perak.

Bagaimanapun, Sabah mempunyai kelebihan menjadi johan bagi tiga acara iaitu petanque, golf dan kebudayaan manakala Perak mengungguli sukan sepak takraw.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata Pesta MSKPPM merupakan platform berkesan untuk memaksimumkan penyertaan guru dalam kegiatan sukan di negara ini.

“Program ini adalah wadah terbaik dalam memupuk budaya sihat secara bersukan dalam kalangan guru dan kakitangan bukan guru.

“Penglibatan dalam MSKPPM sudah pasti mampu memberikan kualiti mental yang mantap di samping mencari bakat warga pendidik di dalam bidang sukan.

“Malah pesta seperti ini juga dapat memupuk nilai-nilai positif serta meningkatkan kualiti hidup dan kesihatan diri,” katanya semasa
Majlis Perasmian Penutupan Pesta MSKPPM Kali Ke-49, pada Sabtu.

Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Exco Pendidikan Negeri Sabah.

Hajiji turut menyatukan melalui Pesta MSKPPM, warga pendidik dapat berkenalan dan bertukar pendapat demi peningkatan mutu profesion.

“Begitu juga, MSKPPM menjadi landasan untuk merapatkan silaturahim serta memupuk semangat kerjasama dalam satu pasukan dengan komuniti setempat,” ujarnya.

MSKPPM Kali Ke-49 disertai 17 kontinjen secara keseluruhannya dengan 16 kontinjen negeri dan Persatuan Sukan dan Kebudayaan Kementerian Pendidikan Malaysia (MESCA).

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan dan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin. — JABATAN PENERANGAN SABAH