Lambakan Durian Kampung, Harga Jatuh Hingga RM2 Sekilo di Sabah

Lambakan Durian Kampung, Harga Jatuh Hingga RM2 Sekilo di Sabah

0
SHARE

PUTATAN: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, durian varieti premium Gred A masih mendapat permintaan tinggi dan terus dieksport ke negara jiran, manakala Gred B dan C dijual di pasaran tempatan.

Menurutnya, cuaca buruk pada 2025 menjejaskan kualiti buah sehingga menyebabkan lebihan durian Gred B dan C di pasaran, namun harga masih stabil sekitar RM35 sekilogram, manakala Gred A sekitar RM50 harga ladang.

Bagaimanapun, durian kampung mengalami lambakan besar dengan harga serendah RM2 sebiji atau RM2 sekilogram di sesetengah kawasan.

Katanya, pemimpin tempatan dan pertubuhan peladang membantu membeli durian secara pukal dan mengagihkannya kepada orang ramai melalui program komuniti.

Beliau berkata kementerian menggalakkan pokok durian kampung ditukar kepada varieti premium melalui program cantuman semula di bawah inisiatif Kebun Dapur, lengkap dengan latihan dan pakej pertanian.

Mengulas rampasan 1.1 tan durian dari Sabah oleh ICQS di Merapok, Sarawak Jamawi berkata ia berkaitan penguatkuasaan biosekuriti oleh negeri dan negara jiran bagi mencegah penyebaran perosak dan penyakit tanaman.

Beliau berkata demikian semasa program agihan hampir sembilan tan durian percuma di Putatan pada Jumaat.

Selain itu, beliau memaklumkan usaha menarik golongan muda menyertai sektor pertanian melalui program mentor dan projek pertanian bandar, termasuk di kawasan perumahan bertingkat.