Pelajar UMS Tular Guna Guni Plastik Mudahkan Bawa Barang Dari Sandakan Ke...

Pelajar UMS Tular Guna Guni Plastik Mudahkan Bawa Barang Dari Sandakan Ke Kota Kinabalu

0
SHARE
Guni
Guni yang digunakan Rafida Zaiddin sehingga tular di laman media sosial ( Sumber Foto: Gambar tular di laman media sosial )

KOTA KINABALU, SABAH – Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Rafida Zaiddin,19, yang menggunakan bagasi guni plastik semasa pendaftaran pelajar baharu sehingga tular di laman media sosial menjelaskan ia bertujuan untuk memudahkan beliau membawa barang.

Anak bongsu dari dua adik-beradik yang berasal dari Kampung Sim-Sim, Sandakan itu berkata beliau dimaklumkan pihak UMS bahawa hanya dua bagasi saja dibenarkan untuk pendaftaran masuk ke asrama.

“Saya menaiki bas dari Sandakan ke Kota Kinabalu selama enam jam jadi sudah tentu banyak barang yang perlu dibawa. Jadi saya masukkan separuh barang itu ke dalam guni plastik. Jika diasingkan, saya risau barang tercicir.

“Separuh lagi barang saya masukkan dalam bagasi dan juga beg sandang. Idea menggunakan guni plastik ini adalah dari bapa saya.

“Saya tidak terfikir (perkara ini) menjadi tular. Apabila menjadi tular, ada seorang senior datang ke bilik saya dan bertanya berkenaan guni plastik saya. Mulanya saya terfikir jika saya terbawa barang orang lain tapi mereka kata bukan seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Rafida turut ditanya pemberita mengenai perbualannya bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi panggilan video, baru-baru ini.

Menjelaskan secara terperinci, katanya Fadhlina bertanya sekiranya duit perbelanjaan saya cukup dan saya katakan padanya duit saya mencukupi. Selepas beberapa minit, beliau menghantar duit kepada saya (secara pemindahan dalam talian).

Selain itu, menurutnya beliau juga ditemui pihak tertentu yang bertanya jika ada memohon biasiswa.

“Ada satu pihak ini beliau tidak memperkenalkan diri tetapi bertanya jika saya ada memohon mana-mana biasiswa. Saya cakap ada seperti Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS). Saya juga dapat Bantuan Tunai Pendaftaran IPT secara ‘one-off’ (BUDI).

“Katanya nanti akan diuruskan (permohonan biasiswa) untuk dicepatkan,” katanya.