KM Terima Kunjungan Hormat CEO Baharu SOGDC

KM Terima Kunjungan Hormat CEO Baharu SOGDC

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC), Encik Mohd Azmir Datuk Ramli, di pejabatnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Selasa.

Mohd Azmir dilantik ke jawatan berkenaan pada 16 September 2025. Sebelum ini, beliau merupakan Ketua Sekretariat Sabah Logistics Council selain berperanan sebagai Penasihat Teknikal Logistik di Kementerian Kerja Raya Sabah.

Dalam pertemuan itu, Ketua Menteri diberi taklimat mengenai hala tuju baharu SOGDC yang memberi penekanan kepada penyediaan perkhidmatan bagi industri minyak dan gas, di samping perkembangan serta prestasi kemajuan Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP).

SOGDC merupakan syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Sabah yang ditubuhkan bagi memacu pembangunan industri minyak dan gas hiliran, khususnya melalui pembangunan SOGIP.

Selain itu, syarikat berkenaan turut berfungsi sebagai agensi kerajaan negeri dalam menarik pelaburan strategik serta mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.