KLUANG – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang terjatuh ke dalam longkang besar sedalam kira-kira 1.5 meter di Jalan Kampung Tengah, Kluang, 9.20 pagi ini.
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Muhamad Laham dipetik berkata bahawa mangsa, S Veeran, 49, menunggang Yamaha 100 berseorangan dari Kampung Palembang Lama menuju ke sebuah kedai di Batu 4.
Katanya, mangsa bagaimanapun dikatakan gagal mengawal motosikalnya sehingga terjatuh ke dalam longkang.
Muhamad Laham berkata, kejadian itu disedari pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan yang kemudiannya menghubungi pasukan perubatan dan polis untuk bantuan.
“Mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di lokasi kejadian dan di sebabkan longkang agak dalam, khidmat bomba diperlukan untuk mengangkat mayat keluar.
“Mayat dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga lewat petang tadi,” katanya kepada pemberita.
Muhamad berkata, siasatan awal mendapati kawasan kejadian adalah jalan lurus, rata dan kering, namun siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diharap tampil menyalurkan maklumat,” katanya.