AKAR UMBI UMNO TERUS DESAK ZAHID HAMIDI, ASYRAF WAJDI LETAK JAWATAN

AKAR UMBI UMNO TERUS DESAK ZAHID HAMIDI, ASYRAF WAJDI LETAK JAWATAN

0
SHARE
Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki...

SEREMBAN – Presiden UMNO dan Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terus didesak akar umbi parti untuk meletakkan jawatan susulan prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Terbaharu, Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin mahu Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Bagan Datok itu meletakkan jawatan segera sebagai langkah bertanggungjawab terhadap keputusan yang tidak memihak kepada BN dalam PRU-15.

“Ramalan banyak pihak yang parti itu akan kecundang pada PRU-15 disebabkan oleh Ahmad Zahid ternyata benar…

“Saya menegaskan Zahid adalah punca utama BN kalah dan ditolak kali ini. Beliau perlu bertanggungjawab sepenuhnya seperti mana kita desak Datuk Seri Najib Tun Razak bertanggungjawab terhadap kekalahan BN pada PRU14.

Zool Amali Hussin…

“Saya tahu apabila bercakap begini ada yang tidak bersetuju, tapi saya perlu bercakap benar walaupun pahit kerana jika tidak buat perubahan sekarang kita akan terus kecundang pada Pilihan Raya Negeri tahun hadapan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Beliau mengakui jentera Pemuda UMNO Seremban sejak dari awal sudah menjangkakan bahawa Ahmad Zahid akan menjadi faktor kekalahan kali ini.

Bagaimanapun, katanya, sebagai ahli parti di peringkat akar umbi mereka tiada pilihan melainkan terus bekerja demi memastikan kemenangan kepada parti.

“Tapi kali ini kita tak mahu lagi berlembut kerana tak mahu masyarakat terus menolak UMNO dan BN. Lagi pun desakan untuk Zahid letak jawatan ini kita telah buat dari dulu lagi…

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi…

“Kita (BN) yang bersungguh minta bubar Parlimen sudahnya kita yang kalah. Kempen pihak lawan satu undi BN satu undi Zahid menjadi Perdana Menteri nampaknya berjaya,” katanya.

Zool Amali berkata, pihaknya juga turut mendesak Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melakukan perkara sama dengan meletakkan jawatan selepas tewas di kerusi Parlimen Gerik.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki…

Menurutnya, pihaknya mendapati langkah Ahmad Zahid menampilkan calon pilihannya pada PRU-15 tidak menjadi kerana tidak menepati kehendak anak muda.

“Paling merugikan dan mengejutkan apabila pemimpin muda UMNO yang berkaliber seperti KJ (Khairy Jamaluddin) kalah di Sungai Buloh kerana parti tempatkan dia di kerusi tidak selamat,” katanya.

Khairy Jamaluddin…

Pada PRU-15 ini, BN mengalami prestasi terburuk dalam sejarah gabungan itu apabila sekadar menang 30 kerusi Parlimen.

Malah, beberapa tokoh utama UMNO-BN turut kecundang antaranya Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid yang tewas di Padang Terap.