PETALING JAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah diminta untuk berundur berikutan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang hari ini melepaskan jawatan Ketua Penerangan UMNO sandangannya memberi saranan agar Zahid “berundur secara terhormat”.
Beliau berkata, pemimpin lain patut diberi laluan untuk membuat keputusan besar buat parti.
“Saya berpandangan bahawa pemimpin nombor satu, presiden UMNO dan pengerusi BN, perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab (atas) kekalahan ini – berundur secara terhormat…
“Biar kepimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti,” katanya.
Tambah Shahril, walaupun beliau meletakkan jawatan beliau kekal setia dengan parti.
Katanya, Zahid perlu berundur dahulu sebelum langkah seterusnya diambil dalam situasi tiada pihak mencapai angka 112 kerusi bagi membentuk kerajaan.
Terdahulu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan Pemuda Umno Bahagian Kota Raja turut menggesa Zahid meletak jawatan, di mana juga timbalannya Mohamad Hasan pernah berjanji untuk meletak jawatan jika BN gagal memenangi PRU kali ini.