KOTA KINABALU: Mohammad Bahrin Abd Karim, Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Likas, menyatakan sokongan penuh terhadap pelantikan Datuk Ar. James Wong sebagai Pengurus Besar Kumpulan (GGM) SEDCO yang baharu, menyifatkan ia sebagai langkah reformasi penting untuk kemajuan institusi dan negeri.
“Sudah tiba masanya Sabah keluar dari zon selesa untuk memberi ruang kepada perubahan yang lebih inklusif dan berdaya saing.
“Pelantikan ini adalah simbol keterbukaan dan kematangan pentadbiran negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang mengiktiraf potensi semua anak Sabah tanpa mengira latar belakang.” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa SEDCO perlu diperkasakan untuk bersaing dengan syarikat swasta dan menjadi lebih berdikari.
“Dengan sokongan kakitangan SEDCO yang berpengalaman, saya yakin James dapat memimpin organisasi ini ke arah yang lebih progresif dan mampan, mengembalikan kegemilangan SEDCO,” katanya.
Bahrin turut menggesa agar pelantikan James Wong tidak dipolitikkan dan memberi ruang untuk beliau bekerja bagi memperkukuhkan kedudukan SEDCO dalam pembangunan ekonomi negeri.