KUALA LUMPUR – Enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh rakan seuniversiti mereka, Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia dengan kesan lebam dan melecur di badan.
Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali, kesemuanya berumur 21 tahun.
Lima daripada tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin dan Mohamad Shobirin didakwa bersama-sama membunuh Zulfarhan Osman, 21, di Bilik 04-10, Blok penginapan asrama Jebat UPNM, Kem Perdana Sungai Besi, Cheras, di sini antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Abdoul Hakeem pula dituduh bersubahat dengan lima tertuduh membunuh mangsa di tempat, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman serupa.
Kesemua tertuduh yang kelihatan tenang mengangguk dan berkata “faham puan” selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.
Tiada pengakuan direkodkan daripada semua mahasiswa itu kerana kes berkenaan merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mahkamah menetapkan 14 Ogos untuk sebutan semula bagi laporan kimia dan bedah siasat. Hampir 50 anggota keluarga keenam-enam tertuduh hadir di mahkamah dan memenuhi galeri awam bagi mengikuti prosiding kes itu sehingga terpaksa duduk di atas lantai mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nordin Ismail dan Abdoul Hakeem diwakili peguam Mohd Fadly Hashim manakala lima lagi tertuduh tidak diwakili peguam.
Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun lalu, dipercayai akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakan.
Mangsa dilapor mengalami kesan melecur di bahagian dada, tangan dan kaki dipercayai akibat ditekap dengan seterika wap.
Sementara itu pada prosiding pukul 5.15 petang di mahkamah sama, keenam-enam tertuduh bersama 13 lagi penuntut lain, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Zulfarhan Osman bagi maksud hendak memeras mangsa untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.
Kesemua 13 tertuduh ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Akmal Akif Alias, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa, kesemuanya berumur 21 tahun.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik 03-05 Blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei lepas dan di bilik 04-10, asrama sama, antara 1.30 pagi dan 4.30 pagi, 22 Mei lepas.
Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan 13 tertuduh, masing-masing diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dan menetapkan 18 Julai untuk sebutan semula kes.
Bagi lima tertuduh yang menghadapi pertuduhan membunuh dan seorang lagi yang berdepan dengan pertuduhan bersubahat membunuh mereka tidak dibenarkan diikat jamin kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.
– Bernama