TENOM, SABAH – Polis sedang mencari saksi kes langgar lari membabitkan sebuah Perodua Aruz hitam dan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun berhampiran 7-Eleven di pekan sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Tenom DSP Hasan Majid berkata akibat kemalangan, mangsa mengalami kecederaan di kedua-dua belah kakinya dalam kejadian kira-kira 2.10 petang itu.
“Siasatan awal mendapati mangsa dan ibunya baru selesai makan di sebuah restoran.
“Mangsa tanpa pengetahuan ibunya berlari ke seberang jalan. Ibunya hanya menyedari apa yang berlaku apabila orang ramai mula berkumpul.
“Mangsa dipercayai dilanggar sebuah Perodua Aruz berwarna hitam yang mana nombor pendaftarannya masih belum dapat dipastikan.
“Pemandu itu tidak berhenti tetapi terus memandu meninggalkan tempat kejadian,” kata Hasan dalam satu kenyataan pada Isnin.
Katanya, ibunya menghantar sendiri anaknya ke Hospital Tenom berhampiran untuk rawatan.
“Tiada serpihan ditemui di tempat kejadian manakala rakaman CCTV lokasi tidak jelas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Polis menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya tampil menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sjn Alfred John di talian 013-2598557.