KUALA LUMPUR – UMNO berpendirian pembubaran Parlimen merupakan jalan terbaik bagi mengelakkan negara berterusan dalam keadaan politik yang tidak menentu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pihaknya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berpendirian serupa disamping perlu mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan yang dapat menjamin kestabilan serta kemakmuran negara.
“UMNO menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Baginda untuk membubarkan Parlimen selaras dengan kuasa-kuasa Baginda sebagaimana termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan…
“UMNO berpendirian pembubaran Parlimen adalah merupakan jalan terbaik memandangkan wakil parti-parti yang membentuk kerajaan campuran sebelum ini makin jelas tidak memperlihatkan solidariti terhadap Perdana Menteri dalam mentadbir negara.
“Malah mengisytiharkan UMNO dan BN sebagai musuh utama hanya lebih menzahirkan tiadanya kepercayaan dan rasa hormat kepada UMNO yang menerajui kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan selepas sesi mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Ahmad turut berkata pihaknya menyerahkan kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU)-15.
“UMNO berpendapat PRU-15 boleh diadakan sebelum pertengahan November, iaitu sebelum menjelangnya musim banjir atau musim tengkujuh…
“Berkaitan dengan PRU-15, dimaklumkan bahawa tarikh baru Perhimpunan Agung UMNO yang sebelum ini ditentukan pada 23-26 November 2022 akan diubah kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
“Mesyuarat juga bersetuju agar tema utama manifesto bagi PRU-15 ialah ‘Kestabilan Dan Kemakmuran’. Tema seumpama ini telah digunakan sewaktu PRN Melaka dan PRN Johor sebelum ini.
“Ianya akan diangkat untuk persetujuan Dewan Tertinggi Barisan Nasional,” katanya.
Sementara itu, Ahmad turut menjelaskan mesyuarat MKT yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO turut membincangkan beberapa isu berkaitan dengan gerak kerja dan persiapan jentera menghadapi PRU-15 setelah Parlimen dengan rasminya dibubarkan.