Dua Orang Lelaki Warganegara Indonesia Hilang Di Tawau

Dua Orang Lelaki Warganegara Indonesia Hilang Di Tawau

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Seorang pekerja ladang sawit dan anak saudaranya dilaporkan hilang selepas keluar memburu pada Sabtu lalu, di kawasan hutan berhampiran Ladang OP 6A Usahawan Borneo Brumas dekat sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Supt Champin Piuh yang dipetik Bernama berkata, mangsa merupakan dua orang lelaki yang juga warga Indonesia itu dikenali sebagai Iwan Musakir, 33, dan Al Fajriada, 11, keluar memburu di kawasan itu bersama enam lelaki lain, pada jam 4 petang.

“Keesokannya pada 9 pagi, enam rakan mangsa sudah berkumpul dan menunggu di luar kawasan hutan, tetapi sehingga 2 petang mangsa serta anak saudaranya masih tiada…

“Jarak lokasi kejadian daripada jalan utama lebih kurang 40 kilometer dengan masa perjalanan kira-kira 2 jam menggunakan kenderaan pacuan 4 roda, kemudian enam lelaki ini bertindak memaklumkan kepada keluarga dan rakan lain untuk bantuan mengesan kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.

Champin berkata laporan kehilangan mangsa diterima pada 28 Jun, sekali gus operasi mencari dan menyelamat diaktifkan.

“Ketika ini usaha mencari mangsa di kawasan hutan itu diteruskan membabitkan anggota polis, pasukan bomba termasuk pekerja ladang berkenaan,” katanya lagi.