KIULU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai, menampilkan rangka inisiatif ekonomi baharu yang memberi tumpuan kepada pengukuhan peluang pendapatan dan pembangunan komuniti Kiulu.
Beliau memperkenalkan Kiulu Market Hub, Co-Working Mini Hub, Pusat Koperasi Pertanian Kiulu dan Program Niaga Wanita sebagai platform baharu untuk menggerakkan ekonomi setempat serta menyokong usahawan muda dan wanita.
“Kami mahu komuniti Kiulu ada ruang selesa untuk berkumpul, berkongsi idea dan memanfaatkan platform yang dapat meningkatkan sumbangan mereka kepada ekonomi tempatan,” katanya ketika walkabout di Tamu Pekan Nabalu, di mana beliau turut mengedarkan manifesto kepada penduduk dan peniaga.
Program sedia ada seperti Tabung Keusahawanan dan Kepimpinan Belia serta Tabung Pendidikan Kiulu akan diteruskan, termasuk insentif pelajar cemerlang, kemasukan universiti dan sokongan PIBG.
Beliau turut menekankan kesinambungan pembangunan fizikal dan sosial, antaranya menyiapkan bangunan urusetia daerah kecil Kiulu, memperluas capaian internet, membuka lebih banyak jalan pertanian, memperkukuh sektor pelancongan dan meluaskan program kemahiran.
Joniston berkata, manifesto itu digubal untuk mengukuhkan perpaduan, memacu pembangunan lestari dan memastikan kesejahteraan penduduk Kiulu.






