Cubaan Seludup Daging Penyu, Balat Digagalkan Maritim Malaysia Kudat

Cubaan Seludup Daging Penyu, Balat Digagalkan Maritim Malaysia Kudat

0
SHARE
Apmm
Pegawai Maritim Malaysia Zon Kudat menunjukkan hasil rampasan daging spesis terancam kes ( Sumber Foto: Ihsan Maritim Malaysia )

KUDAT, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat mematahkan cubaan seludup daging spesis terancam yang dipercayai penyu dan balat di perairan Kudat, Ahad lalu.

Pengarahnya, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bertindak hasil maklumat risikan, aset diatur gerak bagi mengesan sebuah bot yang dilaporkan sedang melakukan aktiviti mencurigakan di pesisir timur Pantai Tanjung Kalutan, Kudat sekitar pukul 5 petang.

“Semasa cuba menghampiri bot terbabit, suspek telah bertindak melarikan diri ke kawasan cetek bagi mengelakkan daripada ditahan pihak penguat kuasa.

“Sebanyak 23 guni daging penyu kering dianggarkan seberat 160 kilogram serta 52 guni balat kering dengan anggaran berat 500 kilogram telah dicampak oleh suspek.

“Kesemua barangan rampasan yang dianggarkan bernilai lebih RM200,000 telah diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana disyaki cubaan menyeludup spesis haiwan terlindung,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Terdahulu dalam kejadian berasingan, Maurice turut memaklumkan Zon Maritim Kudat telah berjaya menahan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran kerana melakukan beberapa jenis kesalahan di tenggara Tagumamal Laut, Kudat, Sabtu lalu.

“Hasil pemeriksaan, anggota Zon Maritim Kudat telah menahan dua individu yang mengendalikan bot terbabit yang juga merupakan warga tempatan berumur lingkungan 17 dan 27 tahun.

“Kedua-dua suspek bersama bot serta hasil tangkapan telah ditahan dan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana tidak mempunyai lesen perikanan dan menangkap ikan dengan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan,” katanya.