Laluan Pejalan Kaki Berbumbung SMK Balung Inisiatif MP Tawau Sudah Siap, Bantu...

Laluan Pejalan Kaki Berbumbung SMK Balung Inisiatif MP Tawau Sudah Siap, Bantu Tingkat Keselamatan Pelajar

0
SHARE

TAWAU: Projek pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung di sini telah siap sepenuhnya, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pelajar serta penduduk setempat yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari.

Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui menerusi hantaran di media sosial Facebook pada Rabu memaklumkan projek berkenaan siap dilaksanakan, selain berkongsi perbandingan keadaan laluan sebelum dan selepas pembinaan.

Menurut beliau, laluan yang sebelum ini terdedah kepada cuaca panas dan hujan kini dilengkapi dengan bumbung serta penghadang keselamatan, menjadikannya lebih selamat dan selesa untuk digunakan oleh pejalan kaki.

Laluan tersebut menghubungkan kawasan perumahan Taman Sawit dengan SMK Balung dan merupakan antara laluan utama pelajar ke sekolah, yang sebelum ini sering menimbulkan kebimbangan kerana terletak berhampiran jalan raya utama yang sibuk dengan kenderaan berat.

Orang ramai di media sosial menyambut baik inisiatif berkenaan dan memuji langkah itu sebagai praktikal serta memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya pelajar sekolah.

Ramai berpendapat projek infrastruktur berskala kecil seperti ini wajar diteruskan kerana bukan sahaja meningkatkan keselamatan, malah mencerminkan keprihatinan wakil rakyat terhadap keperluan asas komuniti setempat.

Projek berkenaan juga dilihat selari dengan usaha memperkukuh kemudahan awam di Parlimen Tawau, selain menjadi contoh bagaimana penambahbaikan infrastruktur mampu memberi impak besar kepada kesejahteraan harian masyarakat.