Dialog Bersama Rakyat Membolehkan Kerajaan Tahu Apa Yang Terbaik – Dr Salleh

Dialog Bersama Rakyat Membolehkan Kerajaan Tahu Apa Yang Terbaik – Dr Salleh

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Kerajaan, termasuk perkhidmatan awam dan wakil rakyat, hanya akan tahu apa yang terbaik, jika sentiasa mengadakan dialog dengan rakyat terutama belia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Menurut kenyataan portal berita Bernama, beliau dipetik berkata bahawa ini benar bukan sahaja dalam konteks Malaysia tetapi berlaku di negara-negara membangun dan maju.

“Pepatah lama kononnya kerajaan tahu segalanya tidak lagi terpakai kini,” katanya selepas pelancaran awal Wacana Belia Antarabangsa Kuala Lumpur ke-2 2017 di sini, hari ini.

Dr Salleh berkata KLIYD 2017 yang akan diadakan pada 3 Dis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan menyediakan platfrom penting bagi pemimpin mendengar dan mencerna harapan dan aspirasi golongan muda profesional, pelajar universiti, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan usahawan muda.

Beliau berkata kerajaan harus berupaya untuk bersikap terbuka dan mendengar terhadap pandangan yang pelbagai “memandangkan demokrasi adalah kunci kepada bagaimana kita menangani perbezaan kita”.

“Demokrasi bermakna keupayaan kerajaan untuk memastikan setiap segmen penduduk boleh menyumbang idea, yang mungkin tidak selaras dengan idea kerajaan sedia ada, tetapi sekurang-kurangnya yang penting ialah bagi kita untuk melibatkan diri, untuk mendengar dan mereka juga harus diberi peluang mendengar daripada pihak kita.

“Oleh itu saya gembira melihat KLIYD, dengan tema ?Mengamalkan Kawalan Keselamatan Menyeluruh: Kenapa ia perlu menyediakan rangkaian dan membuka ruang bagi belia dan wakil rakyat berbahas, memurnikan dan memahami perspektif masing-masing, dalam usaha membentuk dasar untuk memenuhi cabaran hari ini,” katanya.

Salleh berkata cabaran global adalah pelbagai, dari aspek keselamatan peribadi hingga kepada keselamatan negara kepada pengeluaran makanan dan perubahan cuaca.

“Dan walaupun cabaran banyak serta berbeza-beza, begitu juga pendapat dan pandangan untuk menyelesaikannya, dan itulah sebabnya kenapa KLIYD penting untuk memenuhi dan mencari sinergi antara pendapat yang pelbagai dan berbeza yang boleh kerajaan gubal mencari kesepadanan penyelesaian dengan keperluan rakyat,” katanya

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan KLIYD tahun ini dan beliau dijangka menggariskan rangka tindakan untuk memupuk dan mengekalkan pemerkasaan belia.