KUALA LUMPUR – Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas lima pertuduhan, termasuk memalsukan sijil dan transkrip Diploma Pengajian Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ogos lalu.
Memetik laporan Berita Harian, tertuduh, Shafizal Khalil, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mahyudin Mohmad Som selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Shafizal didakwa memalsukan dokumen iaitu sijil Diploma Pengajian Perniagaan dari UiTM yang mempunyai cop mohor dan satu lagi tanpa cop mohor dengan niat menyokong satu tuntutan bagi penama Mohd Hafizi Ahmad, 29, tanpa kuasa sah dengan mengubah dokumen itu.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa memalsukan dokumen iaitu transkrip Diploma Pengajian Perniagaan dari UiTM dengan niat menyokong satu tuntutan bagi penama, Mohd Hafizi iaitu tanpa kuasa sah dengan mengubah dokumen itu.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di Tingkat 7, Seksyen Pemulihan Kredit Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Menara PTPTN, Blok D, Megan Avenue II, No 12 Jalan Yap Kwan Seng, di sini, pada 7 Ogos 2017.
Dia didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kelima, Shafizal didakwa dengan curangnya menerima harta curi, iaitu wang tunai RM1,000 kepunyaan Mohd Hafizi, dengan mengetahui bahawa ia adalah harta curi.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat akhbar Kosmo!, Jalan Chan Sow Lin, di sini, pada jam 5.38 petang, 2 Ogos 2017.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Farah Adilah Nordin menawarkan jaminan RM20,000 untuk empat pertuduhan, manakala bagi pertuduhan kelima tiada jaminan ditawarkan.
Mahyudin kemudian membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Rohani Ibrahim diikat jamin RM9,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Disember depan.
#uitmdihatiku