Jasa Penderma Darah Harus Dihargai, Layak Dapat Pengiktirafan Daripada Kerajaan

Jasa Penderma Darah Harus Dihargai, Layak Dapat Pengiktirafan Daripada Kerajaan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Penderma darah adalah wira negara dan selayaknya mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada kerajaan.

Pengerusi Kempen Derma Darah Anjuran gabungan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Inanam, Datuk Wong Thien Fook berkata, pengorbanan mereka yang tampil menderma darah secara sukarela membantu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.

Datuk Wong Thien Fook…

Katanya, penghargaan itu termasuk dianugerahkan pingat daripada kerajaan negeri sebagai pendorong kepada lebih ramai untuk tampil menderma darah di masa akan datang.

“Sokongan yang diberikan penderma darah akan memastikan bekalan sentiasa mencukupi terutamanya bagi kegunaan pada waktu kecemasan…

“Disamping itu, kesedaran rakyat mengenai pentingnya menderma darah perlu sentiasa ditingkatkan, terutamanya semasa pandemik COVID-19,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Wong berkata, malah pada program hari ini, ada beberapa penderma darah yang tampil dengan rekod derma darah melebihi 100 kali.

Katanya, ia memberi gambaran betapa pentingnya jumlah golongan penderma darah ini harus ditambah dari semasa ke semasa.

Sementara itu, program derma darah KRT Inanam Gabungan KRT kawasan Inanam, hari ini, menyaksikan sebanyak 103 pain darah berjaya dikumpulkan.

Usaha murni yang diadakan di Tugu Peringatan Inanam itu adalah bagi membantu mengisi tabung darah hospital yang kini berdepan kekurangan bekalan darah untuk keperluan semasa.

Kempen berkenaan dijayakan dengan kerjasama Persatuan Penderma Darah Negeri Sabah (Pendarah), Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Persatuan Thalassaemia Sabah serta Persatuan Bulan Sabit Merah.