KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya insiden serangan bom berani mati membabitkan sebuah balai polis bertempat di Jawa Barat, Indonesia.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Wisma Putra semalam telah memaklumkan serangan terbabit mengorbankan sekurang-kurangnya dua individu.
Walau bagaimanapun, dilaporkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian tersebut.
Sehubungan itu, Malaysia menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada Kerajaan Indonesia serta keluarga mangsa, selain mendoakan kesembuhan kepada mangsa yang cedera.
“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan bom berani mati yang telah berlaku di Balai Polis di Jawa Barat, Indonesia pada jam 8.20 pagi, 7 Disember 2022…
“Serangan ini dilaporkan mengakibatkan kematian kepada pengebom dan seorang anggota polis, manakala tujuh anggota polis lain tercedera.
“Malaysia berharap agar pihak yang mendalangi serangan ini segera dibawa ke muka pengadilan,” kata kenyataan itu, hari ini.
Dalam perkembangan lain, media antarabangsa melaporkan insiden tersebut dipercayai didorong rasa marah pengebom terhadap pelaksanaan kanun jenayah baharu Indonesia, sebelum mengambil tindakan nekad dalam serangan bom berani mati yang membunuh seorang lagi dan mencederakan sekurang-kurangnya 10 individu lain.
Pengebom berani mati tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan yang diilhamkan Negara Islam Jamaah Ansharut Daulah (JAD) dan sebelum ini pernah dipenjarakan atas tuduhan keganasan.
Mengulas lanjut, Kementerian Luar memaklumkan mana-mana rakyat Malaysia berhampiran kawasan kejadian boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sekiranya memerlukan bantuan Konsular atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut.





