BigSabah Sale Platform Perkukuh Ekonomi Sabah

BigSabah Sale Platform Perkukuh Ekonomi Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan harapan agar inisiatif-inisiatif seperti BigSabah Sale terus memperluas akses pasaran dan mengukuhkan kedudukan Sabah dalam perdagangan serantau serta antarabangsa.

“Saya berharap platform seperti BigSabah Sale akan terus memupuk kerjasama komersial dan memperkukuh integrasi ekonomi Sabah dengan BIMP-EAGA serta koridor Asia-Pasifik,” katanya ketika merasmikan program BigSabah Sale di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Hajiji berkata, hubungan kerjasama yang kukuh dan bermakna antara kerajaan dan industri menjadi pemangkin kepada pertumbuhan komersial Sabah.

Kerajaan Negeri juga menghargai sokongan pihak industri yang sentiasa membantu memperluas perdagangan, mengembangkan pasaran serta membuka peluang perniagaan kepada usahawan tempatan.

Menurut beliau, kehadiran pempamer dan pembeli antarabangsa pada program tersebut membuktikan keyakinan yang semakin meningkat terhadap potensi Sabah sebagai pintu masuk perdagangan di Asia Timur ASEAN.

“BigSabah Sale mencerminkan kemajuan berterusan Sabah dalam membangunkan ekonomi yang dinamik serta saling berhubung.

“Usahawan, pempamer dan pelabur perlu memanfaatkan peluang ini sepenuhnya, bentuk kerjasama baharu, teroka ekosistem produk dan gerakkan idea-idea baharu,” katanya.

Hajiji turut menegaskan bahawa melalui inovasi, kelestarian dan kerjasama pintar, Sabah kini sedang bergerak ke arah menjadi destinasi bernilai tinggi dalam sektor pelaburan dan perniagaan selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut mengiktiraf penganjuran acara-acara perniagaan sebagai enjin pemangkin ekonomi yang bukan sahaja merancakkan sektor hospitaliti dan runcit, tetapi juga memberi kesan secara langsung terhadap logistik, pertanian, teknologi serta pembuatan.

“Pada November 2022, Sabah menubuhkan Sabah Convention Bureau (SCB) bagi meningkatkan daya saing negeri dalam bidang mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).

Melalui kerjasama industri, SCB terus mengukuhkan ekosistem acara perniagaan dengan menarik program industri dan meningkatkan keterlihatan Sabah dalam landskap acara global,” katanya.

Tahun ini, tiga belas negara mengambil bahagian dalam BigSabah Sale iaitu Brunei, Indonesia, Filipina, Thailand, Singapura, China, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan, India, Turki, Mesir dan Pakistan.