Pegang Portfolio Kementerian Kerja Raya Satu Tugasan Berat 

Pegang Portfolio Kementerian Kerja Raya Satu Tugasan Berat 

0
SHARE
Shahelmey Yahya...

KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Shahelmy Yahya yang telah dilantik memegang portfolio Kementerian Kerja Raya dalam rombakan kabinet baharu Sabah hari ini memandang portfolio itu sebagai satu satu tugasan berat.

“Ini merupakan satu tugasan yang lebih berat memandangkan kementerian ini adalah kementerian yang besar.

“Sebagaimana juga kita ketahui banyak isu yang sedang ataupun perlu ditangani dan perlu diselesaikan seperti jalan raya, air dan sebagainya.

“Jadi, esok pagi saya akan terima taklimat daripada kementerian dan kita akan terus bergerak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di hadapan pintu pagar utama Istana Seri Kinabalu selepas majlis istiadat mengangkat sumpah kabinet baharu, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Shahelmy menerajui portfolio Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat dan selepas rombakan kabinet, portfolio terbabit diserahkan kepada ADUN Sugut, Datuk James Ratib.

Dalam pada itu, beliau ketika ditanya pemberita mengenai statusnya dalam UMNO, Shahelmy menjelaskan beliau masih ahli dalam UMNO.

“Saya masih ahli dalam UMNO. Tempoh hari saya ada berjumpa dengan datuk presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sewaktu ke Sri Gaya tapi tiada apa-ap, cuma angguk-angguk, salam sahaja,” katanya.

Selain itu, beliau turut berkata rombakan kabinet baharu negeri Sabah hari ini merupakan salah satu formula Kerajaan Perpaduan.

Ini berikutan dua ADUN daripada Pakatan Harapan (PH) dan seorang ADUN BN telah mengangkat sumpah dan dilantik sebagai menteri dalam istiadat majlis mengangkat sumpah yang berlangsung di Istana Seri Kinabalu pagi tadi.

Sudah tentu, yang daripada Parti Warisan (WARISAN), daripada kumpulan yang menyatakan penentangan terhadap Datuk Hajiji Noor, kita tidak akan menerima mereka.

Mereka kena terima hakikat, jadilah pembangkang yang membina dan tumpukan urusan membangunkan negeri dahulu.

“Tahun 2025 nanti apabila telah tamat tempoh (tamat penggal), jadi kita akan terima mandat rakyat,” katanya.