TANDIKO DALUSIN ORANG KANAN AZIS JAMMAN LAHIR DI FILIPINA, MASUK SABAH SECARA...

TANDIKO DALUSIN ORANG KANAN AZIS JAMMAN LAHIR DI FILIPINA, MASUK SABAH SECARA HARAM DAN DAPAT MYKAD HASIL MAKLUMAT PALSU

0
SHARE

KOTA KINABALU, 31 OKT 2025 – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak menyiasat segera dakwaan serius melibatkan orang kanan kepada Naib Presiden Parti Warisan, Datuk Azis Jamman, iaitu ‘Tandiko Dalusin’ atau nama samarannya ‘Atan Leecas’, yang didakwa lahir di selatan Filipina telah masuk ke Sabah secara haram, memalsukan maklumat peribadi dan akhirnya memperoleh kad pengenalan (MyKad) warganegara Malaysia.

Menurut Gabungan NGO Bebas Suara (BEBAS), maklumat awal menunjukkan Tandiko dilahirkan di selatan Filipina sebelum berhijrah ke Sabah bersama ibunya yang kemudiannya berkahwin dengan seorang lelaki tempatan. Sumber turut mempersoalkan bagaimana individu ini boleh memiliki kad pengenalan Malaysia (MyKad) sedangkan beliau tidak mempunyai sijil lahir Malaysia yang sah dan tiada rekod kelahiran tempatan.

Jurucakap BEBAS berkata, persoalan besar yang timbul ialah bagaimana seorang individu yang lahir di luar negara boleh tiba-tiba menjadi warganegara Malaysia, dan siapa yang meluluskan serta di bawah arahan siapa MyKad tersebut dikeluarkan.

“Nama ‘Dalusin’ itu sendiri bukan nama sebenar ayah kandung Tandiko. Kami mahu penjelasan penuh daripada pihak berkuasa. Jika benar beliau dilahirkan di Filipina, bagaimana boleh memperoleh MyKad Malaysia tanpa dokumen sah? Ini bukan perkara kecil, ini soal kedaulatan negeri dan keselamatan negara,” tegas jurucakap BEBAS.

PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG

Perbuatan memberikan maklumat palsu bagi tujuan mendapatkan kad pengenalan adalah kesalahan jenayah di bawah undang-undang Malaysia.

Antara peruntukan yang boleh dikenakan termasuk:

Seksyen 464 Kanun Keseksaan (Akta 574) – membuat atau mengubah dokumen palsu dengan niat menipu;

Seksyen 471 Kanun Keseksaan – menggunakan dokumen palsu seolah-olah ia tulen;

Seksyen 25(1)(b) & (e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 – memberikan maklumat palsu atau tidak benar kepada Jabatan Pendaftaran Negara; dan

Seksyen 6(2)(u), Akta Pendaftaran Negara 1959 – membolehkan pendakwaan terhadap individu yang menipu dalam pendaftaran identiti.

Hukuman bagi kesalahan ini boleh mencecah penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali.

“Kesalahan seperti ini bukan isu teknikal, tetapi isu keselamatan dan kedaulatan negara. Jika benar ada unsur pemalsuan dalam proses mendapatkan MyKad, pihak berkuasa mesti bertindak segera tanpa kompromi,” tegas kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, BEBAS menegaskan bahawa kenyataan rasmi pertama mereka telah dikeluarkan pada 16 Oktober 2025, menyeru Polis, JPN, Imigresen dan SPRM menyiasat asal-usul Tandiko Dalusin.

BEBAS dalam kenyataan sama turut mencabar Tandiko serta Datuk Azis Jamman agar tampil membuat laporan polis menafikan dakwaan tersebut.

RAKYAT SABAH BERHAK TAHU

BEBAS menegaskan bahawa kenyataan ini dibuat bukan untuk memfitnah, tetapi untuk menuntut siasatan rasmi bagi memastikan ketelusan dan kebenaran dalam isu kewarganegaraan.

“Kami tidak menuduh secara membuta tuli. Kami hanya mahu siasatan rasmi agar rakyat Sabah tahu kebenaran. Jika dia tidak bersalah, siasatan akan membersihkan namanya. Tetapi jika ada penipuan, undang-undang mesti ditegakkan.”

BEBAS turut memberi amaran supaya isu kewarganegaraan palsu ini tidak disapu ke bawah karpet kerana kedaulatan Sabah bukan bahan dagangan politik.

“Kedaulatan Sabah bukan untuk dijual. Jika benar Tandiko Dalusin warganegara Malaysia, buktikan. Jika tidak, bersedialah untuk berdepan tindakan undang-undang,” tegas jurucakap BEBAS menutup kenyataan itu.

PENAFIAN:
Laporan ini disiarkan berdasarkan kenyataan rasmi Gabungan NGO Bebas Suara (BEBAS) serta maklumat daripada sumber-sumber yang dipercayai.
Pihak SabahNews tidak membuat sebarang tuduhan terhadap mana-mana individu atau pihak, sebaliknya melaporkan isu ini atas kepentingan awam dan hak rakyat Sabah untuk mendapatkan penjelasan rasmi daripada agensi berwajib.