Malaysia Terus Perkukuhkan Sokongan Kepada PBB

Malaysia Terus Perkukuhkan Sokongan Kepada PBB

0
SHARE
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)...

KUALA LUMPUR – Malaysia terus memperkukuhkan sokongan teguhnya kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), ketika badan dunia itu sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran semasa, termasuk dari bahana kemunculan pandemik COVID-19 yang membawa ancaman bukan hanya kepada aspek kesihatan global, tapi juga kepada keamanan dan keselamatan.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan sempena ulang tahun ke-75 tandatangan piagam PBB, Jumaat, berkata Malaysia secara tegas berpegang pada sentralisasi PBB, yang kekal menjadi landasan antara kerajaan paling membina, dalam menjalin kerjasama dan dialog antarabangsa, di samping menjadi ruang untuk mencari penyelesaian bagi beberapa masalah paling mendesak di dunia, termasuk berkaitan COVID-19 – musuh bersama umat manusia.

“Ketika kita terus komited menegakkan Piagam PBB dengan terus berkolaborasi dan berhubung dengan rakan global, kita harus ingatkan diri sendiri betapa pentingnya untuk meneruskan matlamat dan tujuan penubuhan PBB,” kata kenyataan itu.

Menurutnya sambutan ulang tahun itu juga memberi peluang kepada Malaysia dan negara-negara anggota PBB untuk membuat ketetapan dan bergerak secara kolektif maju hadapan menerusi langkah yang membina, bukan sahaja untuk mengatasi cabaran masa kini, tetapi juga masa depan.

Tambahnya, di tengah kesan buruk pandemik COVID-19, terutama kepada populasi yang paling rentan di dunia, yakni kaum wanita dan kanak-kanak; orang kurang upaya; serta kumpulan yang terpinggir dan juga pelarian; adalah mustahak bagi masyarakat antarabangsa untuk bersuara dalam memperjuangkan dan memelihara ‘multilateralisme’, bagi mengatasi banyak cabaran yang dihadapi oleh umat manusia.

“Semasa penularan virus penyakit itu secara global terus menjejaskan ekonomi global dengan serius, masyarakat dan kehidupan, Malaysia terus menekankan bahawa solidariti global ketika ini amat diperlukan, lebih-lebih lagi di saat yang amat mencabar ini,’’ menurut kenyataan itu.

Menurutnya semasa Malaysia sedar bahawa laluan kearah pemulihan daripada pandemik COVID-19 masih panjang dan berliku, ia akan terus aktif menempatkan dirinya sebagai rakan kongsi PBB yang membina serta boleh dipercayai, dan sedia untuk bekerjasama dengan semua pihak semasa dunia berusaha mengatur langkah yang diperlukan untuk pemulihan, semasa mengharungi natijah COVID-19.

“Komitmen Malaysia yang teguh dan penuh yakin dalam mengetengahkan kemakmuran, keselamatan dan keamanan global, ditunjukkan dalam inisiatifnya baru-baru ini menerusi pelancaran ‘Pernyataan Sokongan Terhadap Rayuan Setiausaha Agung PBB untuk Gencatan Senjata Global di tengah Pandemik COVID-19’, yang sekarang mendapat sokongan 172 Negara Anggota PBB, Negara Pemerhati Bukan Anggota dan juga negara Pemerhati,” tambahnya.

– BERNAMA