MENGGATAL, SABAH – Seorang lelaki warga Pakistan dipercayai mati dibunuh oleh warga asing dipercayai merupakan penduduk yangg tinggal di kawasan berdekatan pusat membeli-belah 1Borneo di sini, petang tadi.
Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah kedai runcit milik warga Pakistan tersebut di Kampung Pulau Penampang, Menggatal.
Pihak wartawan Sabah News ketika mengambil keterangan beberapa saksi yang enggan nama mereka disiarkan berkata bahawa seorang kanak-kanak warga asing tersebut telah datang ke kedai runcit berkenaan untuk membeli sebotol air minuman berharga RM2.
Menurut saksi, kanak-kanak tersebut menyerahkan duit RM10 kepada mangsa (warga Pakistan) untuk membayar air minuman, namun mangsa hanya memulangkan baki wang sebanyak RM3 sahaja.
Kembalinya kanak-kanak itu di rumah, ibu dan bapa kepada kanak tersebut tidak berpuas hati atas tindakan mangsa lalu bergegas ke kedai runcit dan terus memarahi lelaki warga Pakistan (mangsa) itu sehingga tercetusnya pergaduhan yang melibatkan kekasaran berlaku.
Menurut sumber daripada pihak polis, bapa (suspek) kepada budak tersebut kemudiannya menumbuk dada dan kepala mangsa berkali-kali serta turut memukul mangsa menggunakan batang besi.
Isteri mangsa yang melihat kejadian itu bertindak panik dengan memukul kepala suspek menggunakan kayu menyebabkan suspek cedera. Anak saudara mangsa yang berada di tempat kejadian turut dipukul.
Kesan daripada kecedaraan itu, suspek kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut manakala mangsa masih berada di lokasi kejadian dan mengadu sakit dada akibat daripada dipukul kuat oleh suspek.
Setelah kereta ambulans bergerak, dua lelaki (yang masih bebas) menyerang mangsa menggunakan batang paip dan kayu menyebabkan mangsa rebah dan tidak sedarkan diri manakala dua suspek lainnya kemudian terus melarikan diri.

Pihak polis dalam satu kenyataan semalam memaklumkan hasil siasatan di lokasi kejadian menemui tiga batang kayu dan satu batang paip plastik yang dipercayai digunakan oleh suspek yang masih bebas. Siasatan masih diteruskan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Setakat hari ini, polis telah menahan lapan individu (4 lelaki dan 4 wanita) manakala dua (2) lagi masih diburu dipercayai terbabit kes pergaduhan tersebut.