Timah Tampil Dengan Single Baharu ‘123’

Timah Tampil Dengan Single Baharu ‘123’

0
SHARE
Timah
Poster single baharu Timah 123 ( Sumber Foto: Ihsan Rocketfuel Entertainment )

KUALA LUMPUR – Penyanyi serta pelakon remaja berbakat besar dan fasih berbahasa Mandarin, Fatimah Noryyah Mohd Noor Kosygin atau lebih mesra disapa Timah, 16, muncul dengan single ketiga berjudul ‘123’.

Single terbabit merupakan hasil garapan komposer terkenal Iqie Hugh bersama Aniq Iffat, dan diterbitkan oleh label hiburan popular tanah air, Rocketfuel Entertainment.

Beliau yang mula dikenali dengan lagu ‘Eleh He Eleh’ itu berkata lagu 123 ini telah pun direkodkan pada awal tahun sejurus selepas Aidilfitri lepas namun berdepan beberapa halangan sebelum dilancarkan.

“Namun akhirnya lagu ini dapat juga dilancarkan pada bulan Oktober ini.

“Saya teringin untuk menyanyikan sebuah karya seakan-akan K-Pop namun masih ada kemelayuannya, dengan melodi yang tidak terlalu berat, lebih santai dan boleh didengar oleh setiap lapisan umur, jadi abang Iqie dan Aniq berjaya merealisasikan impian saya.

“Lagu ini menceritakan tentang perasaan seorang remaja yang tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan orang yang disukainya, ibarat mengira waktu untuk berjumpa.

“Proses rakaman yang berlangsung di World Peace Studio berlangsung selama dua jam. Sangat mudah bekerjasama dengan abang Iqie, dia sungguh profesional dalam pekerjaannya dan ‘team’ Rocketfuel Entertainment turut membantu menaikkan semangat saya” katanya.

Mengulas lanjut, Timah berkata sebagai artis muda, perjalanan seni beliau masih jauh dan banyak ilmu pengetahuan yang perlu ditimba.

“Saya selalu percaya diri, jangan takut dan membiarkan kekurangan mengatasi diri, sepanjang berada dalam industri ini.

“Saya memperoleh banyak sokongan dari keluarga serta keluarga saya di Rocketfuel, mereka banyak membantu dalam pelbagai perkara,” katanya.