Kerajaan Sabah Peruntuk RM5 Juta Kepada 625 Sekolah Bagi Tujuan Pembelian Peralatan...

Kerajaan Sabah Peruntuk RM5 Juta Kepada 625 Sekolah Bagi Tujuan Pembelian Peralatan Digital Dan ICT

0
SHARE
Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta kepada 625 sekolah untuk tujuan pembelian peralatan digital dan ICT bagi tahun 2024.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, peruntukan tersebut disalurkan melalui inisiatif Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH).

“Peralatan tersebut termasukalh komputer riba, LCD Projector, interactive whiteboard, Smart TV, audio system, skrin layar putih, dan lain-lain peralatan yang berkaitan.

“Setiap sekolah diperuntukkan sebanyak RM8,000 untuk pembelian peralatan ini dan peruntukan disalurkan kepada
sekolah-sekolah melalui Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing.

“Bantuan ini akan diteruskan pada tahun hadapan untuk
sekolah-sekolah yang belum menerima bantuan pada tahun ini,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Arifin berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negei (ADUN) Liawan, Datuk Anwar Ayuub @ Annuar Ayub yang bertanya apakah kerajaan negeri bercadang membantu sekolah-sekolah di Sabah dalam mewujudkan kelas dan kemudahan digital di sekolah.

Tambah Arifin yang juga merupakan Exco Pendidikan, peruntukan bagi tahun ini telah melibatkan 799 buah sekolah seluruh Sabah.

Kudat (2 sekolah), Kota Marudu (2 sekolah), Pitas (38 sekolah), Kota Belud (73 sekolah), Tuaran (91 sekolah), Kota Kinabalu (93 sekolah), Penampang (1 sekolah), Papar (18 sekolah), Beaufort (17 sekolah), Membakut (5 sekolah), Kuala Penyu (36 sekolah), Sipitang (39 sekolah), Tenom (3 sekolah), Keningau (93 sekolah).

Diikuti daerah Tambunan, (36 sekolah), Ranau (89 sekolah), Tongod/Telupid (36 sekolah), Beluran (3 sekolah), Sandakan (93 sekolah), Kinabatangan (2 sekolah), Lahad Datu (3 sekolah), Kunak (20 sekolah), Semporna (2 sekolah) dan Tawau (4 sekolah).

Dalam pada itu, Arifin yang juga ADUN Membakut memaklumkan bahawa pihak Advanced  Business System Consultant Sdn Bhd (ABSC) telah menjalankan beberapa kelas ICT kepada murid-murid dan guru-guru sekolah atas permintaan pihak sekolah, terutama untuk subjek yang tidak diajar di sekolah tersebut.

“Bagi tahun 2024, pihak ABSC telah menerima permintaan untuk
menjalankan kelas ICT daripada 17 buah sekolah Menengah
melibatkan penyertaan seramai 2990 orang.

“Daripada jumlah tersebut, 2257 orang adalah pelajar sekolah dan selebihnya adalah guru sekolah iaitu seramai 733 orang,” jelasnya.