TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor memberi amaran bahawa usaha pembangunan dan program pembaharuan kerajaan negeri berisiko musnah sekiranya pembangkang kembali berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU Sabah) Ke-17 pada 29 November ini.
Beliau berkata pengalaman tahun 2018 sewaktu Parti Warisan mengambil alih kerajaan menjadi contoh jelas bagaimana pentadbiran negeri boleh terjejas.
Menurut Hajiji, kerajaan Warisan ketika itu membuat keputusan berunsur dendam, termasuk memotong konsesi air yang menyebabkan kerajaan menanggung kerugian lebih RM315 juta selain menjejaskan kestabilan bekalan air negeri.
“Mereka hanya mahu balas dendam, buat bohong dan fitnah. Pemimpin seperti ini tidak boleh kita sokong, kalau mereka memerintah, hancur kita,” katanya.
Hajiji turut membidas kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang sering menonjolkan pengalaman panjang sebagai wakil rakyat. Katanya, beliau sendiri telah berkhidmat lebih lama namun tidak pernah mendabik dada.
“Dia ingat dia saja pandai,” katanya ketika berucap pada Penutupan Hari Sukan dan Keluarga Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Parlimen Tuaran, di Dewan Seri Sulaman, pada Khamis.
Ketua Menteri itu turut menyentuh mengenai seorang bekas ahli Kabinetnya yang didakwa cuba merampas kerajaan melalui Langkah Kinabalu, tetapi tidak menunjukkan prestasi baik ketika berada dalam pentadbiran.
Menurutnya, pemimpin tersebut jarang hadir mesyuarat dan gagal melaksanakan tugas termasuk menutup jalan-jalan berlubang.
“Lebih tiga tahun jadi menteri, sekarang cakap kerajaan gagal. Sebenarnya mereka yang gagal,” katanya.
Hajiji menjelaskan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mencapai banyak kejayaan dalam pelbagai sektor seperti ekonomi, pelaburan, pendidikan dan kebajikan rakyat.
Beliau menegaskan inisiatif baharu yang dilaksanakan kerajaan kini belum pernah dilakukan oleh pentadbiran sebelumnya. Justeru, rakyat perlu memastikan kemenangan berterusan untuk GRS bagi menjamin kesinambungan pembangunan.
Dalam ucapannya, Hajiji turut menyatakan hasrat untuk menamatkan perkhidmatannya sehingga akhir penggal Dewan Undangan Negeri Ke-17 jika GRS memenangi pilihan raya kali ini.
Sebagai calon GRS bagi DUN Sulaman, beliau mahu memastikan agenda pembangunan di bawah kerangka Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat diteruskan sebelum menyerahkan tanggungjawab kepada pengganti yang sesuai.
Katanya, sepanjang memegang jawatan Ketua Menteri, beliau berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat Sabah tanpa mengabaikan tanggungjawab kepada pengundi di Sulaman.
“Saya tidak pernah aniaya atau tekan orang walaupun mereka pembangkang. Yang penting kerja bagus, mereka teruskan tugas,” jelasnya.
Hajiji turut mengingatkan pemimpin komponen GRS dan jentera akar umbi di Tuaran supaya memastikan sokongan mantap daripada rakyat kepada GRS bagi mencapai kemenangan dalam PRU Sabah.
“Kita mesti ada perasaan yang baik untuk menangkan kerajaan kita. Daripada pilih orang lain, lebih bagus parti kita GRS,” katanya.






