KOTA KINABALU – Kerajaan memperuntukkan RM14.31 juta bagi melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan Tekno Ekonomi cadangan pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok, menghubungkan pulau itu dan tanah besar Sabah.
Menurut laporan BH Online, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dipetik berkata peruntukan sudah diluluskan menerusi Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk kajian itu yang dijangka dapat dimulakan tahun depan.
Beliau berkata, perunding yang akan menjalankan kajian dijangka diumumkan dalam tempoh sebulan ini.
Katanya, ia bukan kajian biasa seperti pernah dijalankan sebelum ini, sebaliknya lebih kepada kajian teknikal termasuk mengenal pasti lokasi permulaan, reka bentuk jambatan dan kesan ekonomi kepada penduduk.
Abdul Rahman berkata, ada pihak mempertikaikan usaha kerajaan membina Jambatan Labuan-Menumbok, namun ia tetap diberi keutamaan tinggi oleh kerajaan Pusat.
“Ini kerana, kemudahan itu bukan saja akan menjadi pemangkin ekonomi Labuan, malah untuk selatan Sabah dan utara Sarawak.
“Kajian terakhir dibuat Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2010, tetapi hanya kajian biasa, tidak mencakupi teknikal dan ekonomi. Ia cuma kata jambatan itu baik dibina.
“Kajian baharu akan menjurus kepada teknikal seperti di mana bermula dan berakhir jambatan serta bagaimana membiayai pembinaannya,” katanya ketika ditemui media, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan Antarabangsa Transformasi Sosial, Komuniti dan Pembangunan Mapan 2017 (ICSTCSD 2017) anjuran UMS, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Institut Sains dan Teknologi Imus, Filipina.
Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Pengiran Mohd Hussein Mohd Tahir Nasrudin dan Dekan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS, Prof Dr Ismail Ibrahim.
Kajian kebolehlaksanaan pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dan Sabah, diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, akhir bulan lalu.
Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, berkata kajian baharu itu akan dijadikan asas kuat untuk membina jambatan berkenaan, bukan sekadar memberi harapan kepada penduduk Labuan dan Sabah.
“Ini bukan kajian sama ada kita mahu buat atau tidak, kita mahu buat tetapi kita mahu pelan teknikal termasuk mengambil kira jajaran yang sesuai dan menyambungkannya dengan Lebuhraya Pan Borneo.
“Kerajaan Sabah juga sudah fikir pembangunan yang akan dibuat di Menumbok,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman membidas tuduhan pihak tertentu kononnya Perdana Menteri menggadai minyak Sabah untuk melaksanakan projek Saluran Paip Gas Trans Sabah (TSGP).
Katanya, projek pembinaan paip gas dari Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis ke Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Sandakan dan Tawau dibiayai pinjaman dijamin kerajaan Pusat berjumlah RM4.53 bilion.
“Projek itu dibiayai melalui pinjaman mudah Bank Eksport dan Import (EXIM) China. Dakwaan pinjaman itu bernilai RM100 bilion serta blok minyak dan gas Sabah sebagai cagaran kepada China, tidak benar sama sekali,” katanya.