Kes Pecah Rumah, Polis Tahan Bekas Suami Isteri

Kes Pecah Rumah, Polis Tahan Bekas Suami Isteri

0
SHARE

KELANTAN – Bekas suami isteri ditahan polis petang semalam kerana terbabit dalam pelbagai kes pecah rumah di sekitar Besut dan Pasir Puteh, Kelantan.

Memetik laporan Harian Metro, pasangan itu ditahan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut pada Ops Pintu di sebuah rumah di Taman Desa Saujana, Padang Luas, Besut jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, lelaki berusia 26 tahun dan bekas isterinya berumur 23 tahun ditahan bersama pelbagai barangan curi di rumah berkenaan.

“Antara yang dirampas ialah Proton Wira Aeroback, lapan komputer riba, dua kamera, kad ATM, barangan kemas, Mykad mangsa, dua telefon bimbit dan pemutar skru.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku terbabit dengan beberapa kes pecah rumah dan sekolah sekitar Besut dan Pasir Puteh.

“Suspek turut mengaku menjadikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putera, Sekolah Rendah Kebangsaan Tempinis, Sekolah Rendah Kebangsaan Pusat Jertih, Institut Perguruan Sultan Mizan (IPSM) Besut dan Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh sebagai lokasi kegiatan jenayah mereka,” katanya hari ini.

Mohd Zamri berkata, tangkapan dibuat hasil laporan kes pecah pejabat guru dan rumah guru MRSM Kota Putera, malam kelmarin.

“Suspek turut mengaku membakar beg komputer riba dicuri di belakang rumah dihuni mereka,” katanya.