KOTA MARUDU: Kumpulan Sawit Kinabalu bakal meneroka industri nanas MD2 sebagai cabang baharu diversifikasi perniagaan apabila merancang membangunkan ladang tanaman itu seluas 100 ekar di Kampung Saga-Saga Pimping, Membakut, Beaufort dalam masa terdekat.
Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Hazem Mubarak Musa berkata, potensi besar industri nanas MD2 yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa mendorong syarikat itu menilai peluang untuk menceburi sektor berkenaan sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh portfolio agribisnesnya.
Menurut beliau, perkara itu antara hasil lawatan kerja ke Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Kampung Gana di sini yang diusahakan oleh Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), bagi meninjau perkembangan dan pengurusan ladang nanas MD2 di kawasan berkeluasan 500 ekar.
“Lawatan ini membolehkan kami memperoleh pendedahan secara langsung mengenai pembangunan industri nanas, selain menilai potensi tanaman ini sebagai salah satu cabang diversifikasi perniagaan yang berdaya maju untuk diterokai pada masa hadapan.
“Malah, Kumpulan Sawit Kinabalu sedang merancang untuk mengusahakan tanaman nanas MD2 di Kampung Saga-Saga Pimping, Membakut, Beaufort melibatkan kawasan seluas 100 ekar sebagai langkah awal meneroka industri ini,” katanya ketika mengetuai lawatan kerja ke tapak penanaman nanas MD2 di Kampung Gana, pada Khamis.
Hazem berkata, lawatan tersebut turut memberi peluang kepada pihaknya melihat sendiri amalan pengurusan ladang, penggunaan teknologi moden serta tahap produktiviti tanaman nanas MD2 yang semakin mendapat perhatian sebagai komoditi bernilai tinggi.
Beliau berkata, perkongsian pengalaman dan amalan terbaik antara Kumpulan Sawit Kinabalu dan LIGS mampu membuka ruang kerjasama yang lebih luas dalam memperkukuh pembangunan sektor agribisnes negeri.
“Maklumat serta pengetahuan yang diperoleh melalui lawatan ini akan menjadi rujukan penting dalam menilai peluang pembangunan industri nanas MD2 yang berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sektor agromakanan Sabah,” katanya.
Dalam lawatan tersebut, Hazem turut menerima taklimat daripada Pengurus Besar LIGS, Ts. Sabdil Tanjung mengenai pembangunan projek nanas MD2 di kawasan berkenaan yang kini menjadi antara model pembangunan pertanian berimpak tinggi di Sabah.
Beliau menegaskan Kumpulan Sawit Kinabalu akan terus meneroka peluang strategik yang mampu memperkukuh daya saing organisasi, meningkatkan nilai ekonomi syarikat serta menyokong agenda pembangunan pertanian dan agromakanan Sabah yang lebih progresif, inovatif dan mampan.






