DUBAI: Kejadian banjir di ibu negara Emiriah Arab Bersatu, Dubai telah menyebabkan pelbagai urusan utama tergendala bermula semalam.
Antara yang terkesan, landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB) dibanjiri air sehingga menyebabkan sebahagian besar penerbangan dibatalkan, lapor Metro UK.
Menurut jurucakap lapangan terbang itu, kejaidan ribut yang luar biasa menyebabkan operasi di DXB tergendala selama 25 minit dengan sebanyak 21 penerbangan keluar dan 24 penerbangan masuk telah dibatalkan semalam.
Manakala, tiga lagi penerbangan telah dilencongkan ke lapangan terbang berdekatan.
Menurut laporan itu juga, kejadian banjir ini telah menyebabkan gangguan yang besar terhadap beberapa urusan penting di ibu negara itu.
Bagaimanapun, Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai itu memaklumkan bahawa penerbangan di lapangan itu sudah kembali beroperasi semula.
Terdahulu, orang ramai telah dimaklumkan berkenaan dengan ramalan cuaca buruk di negara-negara Teluk.
Bahkan, pihak polis Dubai turut memberikan amaran kepada orang ramai untuk mengelak daripada mengunjungi kawasan pantai dan lembah yang memiliki kecenderungan untuk dilanda banjir.
Polis Dubai dilaporkan berkata, perkara ini susulan beberapa keadaan cuaca seperti hujan, angin kencang, ribut petir dan ada kalanya, hujan batu yang mampu mengurangkan kadar kebolehlihatan manusia.