15 NGO TERIMA DANA PROGRAM PENCEGAHAN DAN PEMULIHAN DADAH

15 NGO TERIMA DANA PROGRAM PENCEGAHAN DAN PEMULIHAN DADAH

0
SHARE
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan Encik Sutekno Ahmad Belon menyerahkan sumbangan kepada Setiausaha Skuad Antidadah Kota Kinabalu, Encik Azuan Ruzfah...

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 15 badan bukan kerajaan (NGO) masing-masing menerima sumbangan RM3,000 untuk menjalankan program pencegahan dan rawatan pemulihan dadah di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan penyerahan replika cek sumbangan itu daripada Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Encik Sutekno Ahmad Belon kepada pemimpin NGO’s di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini.

Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan itu semasa Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah Peringkat Negeri Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Encik Sutekno Ahmad Belon kepada wakil Majlis Belia Sabah…

Menerusi sumbangan dana itu, NGO’s tersebut akan membantu pihak AADK Sabah melaksanakan program-program pendidikan pencegahan dan rawatan pemulihan dadah, terutamanya dalam menyebar luas kempen membanteras di kawasan berisiko tinggi.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri mahu AADK memainkan peranan berkesan menangani isu penyalahgunaan dadah di Sabah bagi memastikan generasi sedar akan bahaya penyalahgunaan dadah.

Katanya, semua lapisan masyarakat termasuk agensi kerajaan, swasta, pihak industri, NGO’s dan pemimpin masyarakat perlu bersama-sama kerajaan dalam usaha pencegahan dan memerangi dadah secara penyeluruh dan holistik…

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima cenderamata daripada H.E. Sami Rafael Leino…

15 NGO’s yang menerima sumbangan itu ialah Skuad Antidadah Negeri Sabah,
Majlis Belia Sabah (MBS), Persatuan ZEQWA, Persatuan Ratna Unggul, Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah,Pertubuhan Kebajikan Bersama Sabah,PERKIS Bahagian Kota Kinabalu, Skuad Antidadah Kota Kinabalu, Pertubuhan Kebajikan Amal Sepanggar, Pertubuhan Inspirasi Prihatin Sabah, Pertubuhan Kebajikan Amal TPS Sabah, Skuad Antidadah Keningau, Persatuan Belia Kampung Tudan Baru, Kelab Rakan Muda Keningau dan Gabungan Persatuan Belia Pedalaman Sabah.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Puan Chan Hon Jin, Pengarah AADK Negeri Sabah, Encik Nani Sikin dan Pengarah PUSPEN Papar, Puan Roswati Pain.

Terdahulu Hajiji menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Finland ke Malaysia H.E. Sami Rafael Leino.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong.