Kerjasama Laksana Dasar Malaysia Madani – Jonnybone

Kerjasama Laksana Dasar Malaysia Madani – Jonnybone

0
SHARE
Jonnybone
Jainisah (tiga dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Jonnybone (dua dari kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TELUPID, SABAH – Masyarakat perlu bekerjasama dengan agensi kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar Malaysia MADANI.

Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri II, Jonnybone J Kurum berkata, masyarakat harus menjadi rakan kongsi kerajaan dalam memastikan pembangunan negara yang seimbang.

“Masyarakat dialu-alukan memberikan maklum balas serta cadangan terhadap dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi membolehkan penambahbaikan berterusan dilakukan dalam memastikan dasar tersebut benar-benar memenuhi keperluan rakyat.

“Dalam membantu kerajaan memahami isu-isu di kawasan, masyarakat perlu memberi respon berkenaan keperluan serta aspirasi mereka agar dasar-dasar yang dilakukan lebih relevan dan berkesan.

“Setiap individu dalam masyarakat harus mempromosikan serta mengamalkan nilai-nilai teras MADANI bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pelaksanaan dasar-dasar kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Daerah Telupid di Dewan Institut Perhutanan Sabah.

Beliau juga berkata kerajaan memperkenalkan program ‘AI Untuk Rakyat’ bagi menangani jurang literasi digital dalam kalangan masyarakat, terutama di kawasan luar bandar.

“Kerajaan memberi tumpuan kepada kemudahan akses yang saksama kepada semua rakyat melalui capaian kesalinghubungan dan teknologi digital, terutama sekali di kawasan luar bandar serta pedalaman.

“Infrastruktur dan infostruktur yang kukuh membolehkan semua pihak menyumbang ke arah taraf hidup yang lebih tinggi dengan menyediakan menyediakan perkakasan yang bersesuaian,” tambah Jonnybone.

Antara yang turut hadir dalam majlis tersebut Pegawai Daerah, Celestine Jetoni, Ketua Polis Beluran, Supritenden Hasan Majid serta Pengetua Institut Perhutanan Sabah, Telupid, Muhammad Razali Mohammad. — JABATAN PENERANGAN SABAH