LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MaritimMalaysia) Zon Maritim Lahad Datu berjaya menahan sebuah bot pam warna hijau tanpa nombor pendaftaran yang dikendalikan oleh seorang kru dalam keadaan mencurigakan di perairan Kampung Tanjung Batu, tengah malam Rabu.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, bot ronda Maritim Malaysia berjaya mengesan bot pam terbabit melalui maklumat awam sekitar pukul 12.10 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa 35 tong gelen kosong anggaran setiap tong 20 liter disyaki untuk mengisi dan menyeludup minyak petrol bagi tujuan dibawa ke luar negara ini.
“Kru bot terbabit berjaya melarikan diri dengan terjun ke laut dan berenang ke pesisir pantai berhampiran setelah menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia,” katanya.
Menurut Dzulfikhar, bot terbabit seterusnya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Turut dirampas 35 tong gelen kosong, wang tunai dalam nilai mata wang asing dan ringgit,sebuah bot pam dan dua buah enjin pam dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM8,000,” tambahnya.