Terjemahan Al-Quran Dalam Bahasa Dusun Dilancar 31 Mac Ini

Terjemahan Al-Quran Dalam Bahasa Dusun Dilancar 31 Mac Ini

0
SHARE
Juhar
Nicholas (lima dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Tun Juhar (lima dari kanan) semasa kunjungan hormat diadakan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Terjemahan Al-Quran dalam bahasa Dusun yang pertama di dunia akan dilancarkan 31 Mac ini.

Pengerusi Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim Semalaysia (KDMRS Muslim) Nicholas Sylvester berkata, majlis pelancaran tersebut akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

“Melalui terjemahan ini, ajaran agama Islam dapat diwujudkan dalam bahasa yang lebih mudah difahami oleh masyarakat setempat.

“Proses terjemahannya melibatkan ahli-ahli panel yang pakar dalam bahasa Arab dan memiliki pengalaman dalam bidang bahasa dan juga kajian agama.

“Dengan itu, terjemahan Al-Quran bahasa etnik Sabah dapat dihasilkan dengan kualiti yang tinggi dan memenuhi standard yang ditetapkan,” katanya semasa mengadakan kunjungan terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.

Projek penterjemahan Al-Quran tersebut bermula sejak tahun 2019 dan ia merupakan usaha penting oleh KDMRS Muslim dalam misi menyebarkan dakwah di seluruh Sabah.