201 Aktivis Termasuk 12 Rakyat Malaysia Ditahan Tentera Israel Dalam Misi Global...

201 Aktivis Termasuk 12 Rakyat Malaysia Ditahan Tentera Israel Dalam Misi Global Sumud Flotilla

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seramai 201 aktivis kemanusiaan dari 36 negara, termasuk 12 rakyat Malaysia, telah ditahan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IOF) dalam satu insiden tegang di perairan antarabangsa ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla awal pagi tadi.

Penahanan berskala besar itu disahkan oleh aktivis kemanusiaan Malaysia yang berpangkalan di Gaza, Nadir Al-Nuri, menerusi satu hantaran di laman Facebooknya.

Beliau memaklumkan bahawa kesemua aktivis dilaporkan dalam keadaan selamat.

“201 orang ditahan IOF setakat 4 pagi waktu Gaza dari 36 negara,” katanya, memaklumkan kejadian berlaku sekitar jam 4 pagi waktu tempatan.

Difahamkan, kesemua aktivis terbabit ditahan ketika berada di atas sebuah kapal bantuan kemanusiaan yang dipercayai sedang menghampiri perairan Gaza untuk menyampaikan bekalan penting kepada penduduk Palestin.

Misi Global Sumud Flotilla disertai aktivis antarabangsa sebagai simbol solidariti terhadap rakyat Gaza yang berdepan sekatan berpanjangan rejim Zionis Israel.

Maklumat lanjut yang diperoleh menunjukkan Sepanyol mencatat jumlah aktivis ditahan paling ramai iaitu seramai 30 orang, diikuti Itali (22 orang) dan Turkiye (21 orang).

Ketika ini, lokasi sebenar penahanan para aktivis dan tindakan susulan pihak IOF masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim dalam kenyataan hari ini memaklumkan beliau bersama pasukannya sedang giat berhubung dengan pihak berkepentingan termasuk saluran diplomatik dalam usaha memastikan sukarelawan dan aktivis Malaysia, ASEAN dan antarabangsa dibebaskan dengan segera.

“Kepada ahli keluarga semua aktivis dan sukarelawan, semoga terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik mencabar ini. Perkembangan setiap proses menuju pembebasan akan dimaklumkan dari masa ke masa.
“Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa agar semua tahanan, khususnya warga Malaysia, berada dalam keadaan selamat dan terpelihara,” katanya menerusi laman Facebook rasmi beliau hari ini.