KOTA KINABALU: Cadangan Parti Warisan membentuk Blok Borneo menjelang PRU16 disifatkan sebagai langkah oportunis dan caturan terdesak untuk kekal relevan.
Aktivis politik, Aksyah Nasrah berkata, usaha mendapatkan kerjasama STAR dan KDM dilihat lebih kepada mencari sokongan baharu berbanding memperjuangkan kepentingan Sabah dan MA63.
Beliau turut mempersoalkan perubahan pendirian Warisan daripada bergerak solo kepada membentuk pakatan, selain mengingatkan parti itu tidak pernah membentuk kerajaan secara bersendirian.
Menurutnya, pentadbiran GRS di bawah Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pula lebih stabil, dengan kejayaan meningkatkan pemberian khas kepada RM1.5 bilion serta memperkukuh hasil dan rizab negeri.
Aksyah berkata cadangan Blok Borneo perlu diteliti agar tidak menjejaskan hubungan antara wilayah, sambil menegaskan isu utiliti tidak wajar dipolitikkan kerana kerajaan kini sedang menanganinya melalui SMJ 2.0.
“Rakyat Sabah mampu menilai antara realiti dan retorik politik,” katanya.






