GRS Terbukti Tegas Pertahan Hak Sabah, Bukan Cakap Kosong Macam Shafie –...

GRS Terbukti Tegas Pertahan Hak Sabah, Bukan Cakap Kosong Macam Shafie – Armizan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa perjuangan GRS dalam mempertahankan hak negeri Sabah dibuktikan melalui tindakan konsisten dan dasar yang jelas, bukan sekadar retorik seperti yang dimainkan oleh Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.

Beliau berkata, pembangkang sering membina persepsi bahawa kerajaan GRS gagal memelihara khazanah alam serta hak minyak dan gas Sabah, sedangkan dakwaan itu tidak berasaskan fakta atau bukti sahih.

“Mereka gemar melaungkan slogan kononnya pejuang hak negeri, tetapi apabila diuji dengan kuasa, mereka gagal membuktikan kesungguhan itu.

“Saya bawa contoh isu Akta Laut Wilayah 2012. Di Parlimen baru-baru ini, Shafie lantang bercakap tentang hak negeri berdasarkan Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan. Tetapi persoalannya, di mana suara beliau ketika menjadi menteri dan Ahli Parlimen pada tahun 2012?” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar menjelaskan, Akta Laut Wilayah 2012 yang dikuatkuasakan pada 22 Jun 2012 telah mengehadkan hak maritim Sabah kepada hanya tiga batu nautika dari pesisir pantai, satu perubahan besar terhadap sempadan asal negeri seperti yang termaktub dalam The North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954.

“Kalau benar pejuang hak negeri, mengapa beliau tidak bersuara ketika itu? Kenapa tidak membangkitkan Artikel 2 yang sama dalam mesyuarat kabinet atau di Parlimen sewaktu akta itu diluluskan?” soal beliau.

Sebaliknya, kata Armizan, kerajaan GRS hari ini di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah dengan jelas menegaskan di Dewan Undangan Negeri bahawa Sabah tidak menerima Akta Laut Wilayah 2012 kerana ia bercanggah dengan hak dan sempadan asal negeri.

“Itulah bukti ketegasan sebenar. Bukan retorik, bukan mainan persepsi menjelang pilihan raya. GRS pertahan hak negeri melalui tindakan,” tegasnya.

Beliau berkata, hasil ketegasan kerajaan GRS bersama rakan pentadbiran di Sabah (PH) dan Sarawak (GPS), Parlimen telah meluluskan Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 yang hanya terpakai untuk Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, tidak di Sabah dan Sarawak.

“Inilah bukti perjuangan berprinsip, GRS berjuang menggunakan dasar, undang-undang dan keputusan rasmi, bukan melalui laungan politik,” katanya.

Armizan menegaskan rakyat kini sudah mampu menilai siapa yang benar-benar memperjuangkan hak negeri Sabah melalui rekod pencapaian, bukan sekadar cakap kosong.