KOTA KINABALU: Komuniti perniagaan Cina menzahirkan keyakinan penuh terhadap kerajaan negeri, dengan penubuhan sayap Wanita dan Belia di bawah dewan perniagaan Cina dilihat mampu melahirkan pemimpin generasi baharu.
Presiden Dewan Perniagaan Malaysia–China Sabah (MCCC), Datuk Dexter Lau berkata, komuniti itu sentiasa memainkan peranan aktif dalam pembangunan negeri dan bersedia berganding bahu dengan kerajaan.
Beliau menegaskan, di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Sabah mencatat pencapaian memberangsangkan termasuk peningkatan hasil negeri daripada RM4.2 bilion pada 2019 kepada RM7 bilion pada 2023, selain menarik pelaburan asing RM10.9 bilion pada suku pertama tahun ini.
Katanya, usaha kerajaan memacu pelaburan dan perindustrian turut mewujudkan lebih 150,000 peluang pekerjaan dengan kadar pengangguran menurun kepada 6.2 peratus, terendah sejak pandemik Covid-19.
“Pencapaian ini membuktikan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri. Komuniti perniagaan Cina akan terus menyokong usaha ini demi kemakmuran bersama,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri bersama masyarakat Cina.
Dexter turut menghargai sokongan berterusan kerajaan terhadap persatuan Cina, badan keagamaan bukan Islam dan pendidikan vernakular, dengan peruntukan mencecah RM70 juta tahun ini.






