NABAWAN, SABAH – Seramai lapan orang guru yang bertugas di SK Pangaraan dan kawasan sekitar Mukim Tatalaan sini dihantar kembali ke sekolah menggunakan dua buah helikopter yang di sewa khas oleh Datuk Joseph Arthur Kurup.
Bantuan yang istimewa itu katanya kerana banyak jalan dan sungai yang terputus akibat bencana banjir luar biasa yang berlaku baru-baru di kawasan itu.
“Kebiasaannya perjalanan ke kawasan itu mengambil masa 3 jam hingga 6 jam bergantung kepada keadaan cuaca.
“Tetapi banjir yang luar biasa baru-baru ini telah putuskan infrastruktur hubungan ke sana dan ada bahagian di mana mereka perlu berjalan kaki…
“Peruntukan kecemasan telah diluluskan oleh Perdana Menteri untuk pembaikan infrastruktur yang telah rosak akibat bencana banjir seperti yang terdahulu diumumkan,” katanya dalam sebuah catatan Facebook.
Perkara itu selepas Ahli Parlimen Pensiangan terbabit menerima kritikan apabila tular video kira-kira 30 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nangkawangan yang terpaksa “mengadai nyawa” mengharungi sungai ke sekolah menggunakan rakit dan zip line demi masa depan lebih cerah.
Arthur berkata, pegawai-pegawai teknikal sudah membuat lawatan tapak ke lokasi-lokasi yang berkaitan.
“Untuk maklumat terkini, pembinaan jambatan gantung untuk SK Nangkawangan dan juga SK Layon telah mula beberapa hari yang lalu walaupun pegawai dan pekerja menghadapi kekangan cuti perayaan.
“Kita jangka kerja-kerja pembaikan yang lain akan menyusul lagi dalam masa terdekat. Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan batasan tapi kita akan usahakan sebaiknya untuk segerakan segala kerja pembaikan yang diperlukan,” beliau berkata.
Sukarelawan mewakili penduduk kampung Nangkawangan, Zazila Roslan, menjelaskan kepada media kali terakhir beliau bersama pertubuhan sukarelawan lain masuk ke kampung itu adalah pada 15 April lalu dan mendapati keadaan masih sama, yang mana jambatan putus dan rosak akibat banjir belum diperbaiki sejak awal Mac.
Berita itu mendapat perhatian negara lagi-lagi apabila Arthur juga merupakan Timbalan Menteri Kerja Raya.
Rakan komponen dalam Barisan Nasional dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin dalam sidang media baru-baru ini berkata sementara menunggu jambatan baharu itu siap, pihak kerajaan akan membekalkan beberapa bot untuk kegunaan orang kampung dan pelajar sekolah menyeberangi sungai.





