SEMPORNA, SABAH – Seorang wanita dipukul sebelum dirompak dan terus ditinggalkan dalam keadaan cedera di atas jalan raya di sini, kelmarin.
Orang awam segera membuat laporan polis sejurus melihat mangsa yang berusia lebih kurang 40 tahun itu terbaring di Jalan Kuala Bebang sekitar jam 6.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Supt Mohd Farhan Abdullah berkata mangsa bekerja sebagai tukang bersih di sebuah hotel di daerah terbabit.
“Siasatan awal mendapati, sehari sebelum itu, mangsa keluar dengan seorang lelaki yang baru dikenali menaiki sebuah motosikal ke tempat kejadian…
“Suspek kemudiannya dipercayai memukul mangsa menggunakan topi keledar sebelum melarikan diri dengan beg tangan yang mengandungi dokumen penting, telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM500 mangsa,” katanya dalam sebuah kenyataan media hari ini.
![](https://sabahnews.com.my/wp-content/uploads/2021/07/dipukul-dan-dirompak.jpeg)
Mangsa kini dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Tawau sementara pihak polis sedang giat mengesan suspek.
“Orang awam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan mana-mana individu yang baru dikenali,” tegas Farhan.