Azizah Terima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Daerah Beaufort 

Azizah Terima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Daerah Beaufort 

0
SHARE

BEAUFORT: Ketua Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Seri Azizah Mohd Dun diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul daerah Beaufort sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah 1446H/2024M.

Anugerah itu disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam seterusnya merasmikan majlis itu di Dewan Pa Musa di sini pagi tadi.

Azizah yang juga bekas Ahli Parlimen Beaufort menerima sijil dan hadiah iringan.

Terdahulu, Ruslan bersama isteri serta masyarakat sekitar daerah itu menyertai perarakan yang bermula dari dataran Bagadang menuju ke bulatan limau manis dan berakhir di dewan Pa Musa.

Ketika berucap, Ruslan berkata, tema ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’ telah diangkat sebagai tema majlis untuk dihayati bersama selain bersebati dengan intipati citra kepimpinan Rasulullah yang bersifat inklusif serta manusiawi

Katanya, ia juga sesuai dengan kemajmukan masyarakat yang berbilang agama dan bangsa.

“Tentunya segala rencam nuansa kemajmukan masyarakat yang berbeza agama, bangsa dan budaya, ia seharusnya diurus dengan penuh berhemah dan bijaksana. 

“Usahlah direntap keharmonian serta kesepakatan yang dinikmati masyarakat. Adalah amat menyedihkan, masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab, umpama api dalam sekam, sengaja menjadikan sentimen agama dan perkauman sebagai senjata untuk meraih sokongan dan kepentingan tertentu.

“Janganlah kita menjadi pemecahbelah yang memporak-peranda, mencetus provokasi dan menyebar fitnah,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak perlu membawa watak pendamai yang menyeru kasih sayang serta menyatu kesatuan ummah.

“Semua pihak perlulah menjadi insan yang bertanggungjawab kepada negara,”katanya.