KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan mengadakan lawatan ke Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (MBR KK) dan Masjid Negeri Sabah tahun ini.
Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata Kelantan ingin mengusahakan kaedah terbaik untuk mengimarahkan lagi masjid di negeri tersebut berdasarkan pengalaman Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
“Kami di Kelantan mendapati usaha yang telah dilakukan terutama sekali MBR KK sangat banyak dan kami rasa dapat kami pelajari untuk mengadakan aktiviti yang sama di Kelantan,” katanya selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, pada Isnin.
Beliau juga memaklumkan pada bulan lepas rombongan MBR KK telah menghadiri Konvensyen Masjid Nusantara di Kelantan yang mengumpulkan para penggerak masjid seluruh negara untuk berkongsi pengalaman dalam menguruskan masjid cemerlang di tempat dan lokaliti masing-masing.
Tengku Temenggong Kelantan ditemani Isteri, Tengku Puan Temenggong, Puan Sri Norhayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengadakan kunjungan kepada Tun Juhar dan Isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.
Ketika ditemui media, beliau turut memaklumkan bahawa kunjungan tersebut adalah yang pertama secara peribadi mewakili MAIK. — JABATAN PENERANGAN SABAH