Seorang Remaja Maut, 32 Lagi Dirawat Selepas Makan Pil Misteri

Seorang Remaja Maut, 32 Lagi Dirawat Selepas Makan Pil Misteri

0
SHARE

KENDARI, INDONESIA – Penduduk di bandar tersebut gempar apabila seorang remaja maut manakala 32 lagi terpaksa dirawat di hospital akibat berkelakuan aneh selepas memakan campuran beberapa pil misteri.

Seorang pelajar, Moldi Kurniawan, 11, dilaporkan meninggal dunia di Rumah Sakit Bhayangkara di Sulawesi Tenggara selepas meminum campuran pil misteri itu bersama rakan-rakannya pada malam Selasa lalu.

Tidak lama selepas itu, rakan-rakan mangsa juga dibawa ke hospital selepas didapati berkelakuan aneh termasuk kejang pada anggota badan.

Menurut laporan media tempatan, seramai 32 orang termasuk pelajar sekolah rendah, remaja dan orang dewasa dirawat di lima hospital di bandar ini akibat keadaan yang sama.

Kebanyakan pesakit diikat pada katil kerana bertindak ganas dan diberi ubat penenang.

Rakaman video yang memaparkan beberapa remaja berkelakuan ganjil seperti dirasuk itu juga tular di media sosial di Indonesia.

Seorang mangsa yang enggan dikenali memberitahu, mereka menghancurkan beberapa jenis ubat sebelum dilarutkan di dalam air.

“Selepas minum saya dan beberapa rakan pengsan dan apabila bangun fikiran kami melayang.

“Saya tidak ingat apa yang berlaku dan hanya sedar apabila dirawat di hospital ini,” katanya yang dipetik akhbar Kendari Pos.

Pengarah Pemulihan Badan Narkotik Nasional Sulawesi Tenggara, La Mala berkata, kemungkinan semua mangsa memakan campuran ubat PCC, Tramadol dan Somadril.

“Bagaimanapun, itu hanya tanggapan awal kerana kami masih melakukan siasatan lanjut,” katanya.