KUANTAN – Memakai tangkal di lengan kononnya sukar dikesan pihak berkuasa, namun ‘perisai’ penjenayah yang aktif melakukan samun membabitkan rumah sewa penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di bandar ini tidak menjadi apabila dia ditahan Ahad lalu.
Memetik kenyataan Harian Metro, suspek berusia 30 tahun ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan di bahu jalan Lorong Pandan Damai, di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Senior Asisten Komisioner Othman Nayan berkata, suspek yang juga ketua sebuah kumpulan jenayah terbabit dalam sekurang-kurangnya 24 kes samun, pecah rumah dan curi kenderaan sejak Januari tahun ini.
Katanya, suspek yang berasal dari Kampung Sri Fajar, Jalan Gambang, di sini, menyasarkan asrama wanita, rumah didiami penuntut IPT serta rumah kongsi di sekitar daerah ini untuk melakukan kegiatan itu.

“Siasatan mendapati semua rumah yang dipecah masuk dihuni penuntut perempuan dan suspek kebiasaannya melakukan jenayah itu pada awal pagi ketika mangsa tidur.
“Suspek juga menggunakan parang ketika melakukan aktiviti itu untuk menakut-nakutkan mangsa malah ada juga mangsa yang mendakwa dicabul suspek,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Difahamkam, suspek menggunakan tangkal serta kuku harimau yang dipercayai sebagai ilmu kebal bagi mengelakkannya dikesan pihak berkuasa.
Susulan penangkapan suspek, polis menahan tiga lagi rakannya berusia 19 hingga 31 tahun kelmarin di sekitar Taman Tas, di sini, dipercayai turut terbabit dalam jenayah itu.
Othman berkata, jumlah kerugian direkodkan sebanyak RM367,125 dan pihaknya berjaya menemui semula sebahagian daripada barang curi membabitkan kenderaan, barang kemas dan telefon bimbit.
Katanya, semakan turut mendapati suspek dikehendaki membabitkan kes pukul, curi kenderaan dan dadah malah mereka juga masing-masing mempunyai kesalahan lampau.
“Dengan penahanan semua suspek ini, polis percaya dapat menyelesaikan 24 kes jenayah iaitu 17 kes samun, enam kes curi kenderaan dan satu kes pecah rumah di daerah ini.
“Kita masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan saki-baki ahli kumpulan itu mengikut Seksyen 392, 395 dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurutnya, ujian saringan air kencing juga mendapati semua suspek positif dadah jenis Methamphetamine.
Dalam pada itu, beliau menasihati penuntu IPT terutama wanita supaya menyewa rumah di kawasan disahkan selamat dan mempunyai kejiranan yang baik bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah samun dan pecah rumah.