JOM! Malaysia-China Friendship Run 2026 Terima Pengiktirafan Rasmi Sabah

JOM! Malaysia-China Friendship Run 2026 Terima Pengiktirafan Rasmi Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Larian JOM! Malaysia-China Friendship Run 2026 mendapat pengiktirafan rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan serta Pembangunan Usahawan Sabah.

Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pertemuan bersama delegasi Persatuan Persahabatan Malaysia-China Sabah baru-baru ini membuka ruang kerjasama lebih luas, khususnya dalam program pertukaran belia, pembangunan sukan dan ekonomi kreatif.

Beliau turut memuji peranan persatuan itu sebagai jambatan yang menyatukan komuniti serta menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negeri.

Saya berharap kerjasama ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada belia Sabah untuk mengasah bakat, mendapat pendedahan antarabangsa dan menonjolkan potensi di peringkat global,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Tetap merangkap Setiausaha Agung persatuan berkenaan, Steven Liaw, yang juga Ketua Penyelaras larian tersebut, merakamkan penghargaan atas sokongan kementerian dan berjanji memastikan penganjuran tahun ini lebih bermakna.

Beliau berkata larian itu sejak awal membawa semangat “Running for Friendship and Unity”, bukan sekadar acara sukan tetapi platform pertukaran rakyat yang mengeratkan hubungan Malaysia-China.

“Sukan mempunyai keupayaan unik merentasi bahasa dan budaya. Larian ini menyatukan komuniti serta memupuk persefahaman,” katanya.

Larian sejauh tujuh kilometer itu dijadual berlangsung pada 26 Julai (Ahad), jam 6 pagi di Padang Merdeka, di sini.

Acara itu turut disokong jenama sukan Skechers serta pelbagai agensi kerajaan dan organisasi korporat. Sebanyak 249 hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM43,000 ditawarkan, selain pakej perlumbaan termasuk kemeja-T, beg mesra alam, baucar diskaun Skechers, nombor peserta dan pingat penamat.

Yuran penyertaan ditetapkan RM80 seorang.