Buaya 300kg Ditangkap Penduduk Dekat Bangunan DUN

Buaya 300kg Ditangkap Penduduk Dekat Bangunan DUN

0
SHARE

KOTA KINABALU: Lebih 20 penduduk kampung berganding tenaga menangkap seekor buaya seberat kira-kira 300 kilogram hari ini.

Reptilia sepanjang 3.7 meter itu ditangkap berhampiran kawasan Dewan Undangan Negeri Sabah selepas dikesan kira-kira 100 meter dari pesisir pantai.

Operasi menggunakan tiga bot dan jaring itu berjaya pada cubaan ketiga selepas dua percubaan awal gagal.

Buaya berkenaan dilaporkan sering timbul berhampiran pantai Universiti Malaysia Sabah (UMS) sejak beberapa minggu lalu, mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 8.02 pagi sebelum sepasukan 10 anggota diketuai Lt (PA) Umi Kifli digerakkan ke lokasi.

“Pasukan dihantar bagi memantau keadaan, memastikan keselamatan serta membantu operasi menangkap semula menggunakan peralatan khas,” katanya.

Buaya itu kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Unit Sulaman sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut.